Thursday, August 14, 2008

Bedah yang kami rindui

(Bedah, si kecil berbaju kuning bersama Nana anak Mak Usu)

Pagi 12 Ogos 2008, jam 2.30 pagi lebih kurang. Suami telah menerima panggilan telefon dari Mak Uda di Johor. Mak Uda telah menyampaikan satu berita yang memeranjatkan, anak Mak Teh, Nur Ubaidah telah meninggal dunia lebih kurang 1 pagi tadi. Innalillahiwa'inna'ilaihirajiun.

Nur Ubaidah baru berusia 4 tahun, merupakan sepupuku yang hampir sebaya dengan Safiah. Dia yang kami panggil Bedah di kalangan keluarga kembali ke Rahmatullah kerana jangkitan pada paru-parunya. Baru 3,4 tahun lepas ayahnya meninggal dunia kerana penyakit yang hampir sama. Kesian Mak Teh.

Aku terus mengejutkan mak dan abah di bilik bawah. Kami terus berkemas subuh itu juga, semua anak dikejutkan dan kami bertolak lebih kurang pukul 4.00 pagi. Kami tiba di Johor pada pukul 8.00 pagi semasa tahlil diadakan. Jenazah belum dikebumikan lagi. Suasana sangat tenang, jenazah telah disiapkan dari hospital lagi. Cuaca redup memudahkan urusan pengebumian, dalam pukul 10, jenazah selamat dikebumikan.

Bagi aku Bedah adalah seorang kanak2 yang cukup baik, walaupun sering meragam (kerana penyakitnya) tapi aku masih ingat bagaimana dia begitu tekun mengerjakan solat. Bermula dari berwuduk, pakai tudung (diumpamakan telekung) dan solat bersendirian (lengkap dengan rukuk dan sujudnya) tanpa disuruh dan seusainya terus mencium tangan ibunya. Argh... aku pula nak menitis air mata. Tentu Mak Teh apatah lagi. Tapi Mak Teh beruntung kerana Bedah sudah dijanjikan syurag dan sedang menanti ibunya di syurga kelak.

Al-Fatihah.